Kuala Lumpur – Perodua melakar sejarah baharu apabila rasmi melancarkan QV-E, kenderaan elektrik (EV) pertama keluaran mereka, sekali gus menandakan kemasukan rasmi syarikat itu ke dalam pasaran EV mampu milik di Malaysia.
Model tersebut ditawarkan pada harga RM80,000 (tidak termasuk insurans dan bateri), menjadikannya antara EV paling mampu milik dalam negara.
Contoh Surat Permohonan Pendawaian Baharu Di Kawasan Parking Kereta
Guna Konsep “Battery as a Service” RM275 Sebulan
Apa yang membezakan QV-E dengan model EV lain ialah konsep pajakan bateri atau Battery as a Service. Dalam pendekatan ini, bateri tidak termasuk dalam harga kenderaan. Sebaliknya, pelanggan membayar RM275 sebulan bagi tempoh pembiayaan selama sembilan tahun.
Model ini bertujuan mengurangkan harga pembelian awal dan menjadikan EV lebih mudah diakses oleh pengguna golongan pertengahan.

Pelaburan RM800 Juta. Kapasiti Pengeluaran Dijangka Cecah 3,000 Unit Sebulan
Presiden dan CEO Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, memaklumkan bahawa QV-E dibangunkan melalui pelaburan RM800 juta, merangkumi kejuruteraan, R&D serta integrasi teknologi keselamatan baharu di kilang Smart Mobility Plant Perodua.
Menurutnya, kapasiti pengeluaran kini berada pada 500 unit sebulan, namun akan ditingkatkan kepada 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga 2026, selari dengan permintaan pasaran.
Pelancaran disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
60% Komponen Tempatan. 70 Vendor Menjelang 2030
Sebagai usaha memperkukuh industri automotif Malaysia, QV-E dibina dengan 60% kandungan tempatan, termasuk panel badan, harness dan komponen elektronik utama. Setakat ini, 52 syarikat tempatan terbabit sebagai pembekal komponen. Angka tersebut dijangka meningkat kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun akan datang.
Perodua turut menyasarkan 50% pembekalan komponen tempatan menjelang 2026 dan meningkat kepada 70% menjelang 2030, sejajar dengan sasaran ekosistem EV nasional.

Jarak Pemanduan 445km Dengan Bateri LFP 52.5kW
QV-E dilengkapi bateri LFP 52.5kW, menawarkan jarak pemanduan sehingga 445 km (NEDC) sesuai untuk penggunaan harian bandar dan perjalanan sederhana.
Jarak ini masih bergantung pada kondisi jalan, cuaca dan gaya pemanduan.
Ciri Keselamatan Baharu: Child Presence Detection
Salah satu tarikan utama QV-E ialah sistem Child Presence Detection, teknologi yang mampu mengesan:
-
pergerakan,
-
bunyi pernafasan,
-
dan tanda vital lain
walaupun terhalang fabrik atau selimut. Ciri ini direka untuk mengurangkan risiko kanak-kanak atau haiwan peliharaan tertinggal di dalam kenderaan.
Sasaran Pembeli & Pilihan Warna
Perodua menyasarkan pembeli dari golongan pertengahan, termasuk mereka yang mencari:
-
kereta kedua,
-
kenderaan harian,
-
atau EV untuk aktiviti santai hujung minggu.
QV-E hadir dengan dua warna elegan:
-
Ice Blue
-
Caviar Grey
Ia ditawarkan di cawangan Perodua terpilih sahaja.
Sokong Aspirasi NIMP 2030 & Mobiliti Rendah Karbon
Pelancaran QV-E selari dengan fokus Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) untuk memacu industri automotif negara melalui:
-
teknologi hijau,
-
automasi,
-
peningkatan kandungan tempatan,
-
dan pengukuhan ekosistem EV serantau.
Model ini dijangka memainkan peranan penting dalam mempercepat agenda mobiliti rendah karbon Malaysia.
Sumber : HM








